Friday, April 2, 2010

CIPTA 2010




Cetusan Inspirasi Pelajar Tahun Akhir (CIPTA) merupakan aktiviti tahunan bagi pelajar tahun akhir yang mempamerkan projek akhir mereka. Penyertaan pelajar dalam pameran tersebut merupakan salah satu prasyarat bagi anugerah gelaran Sarjana Muda (Kepujian) dari Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Unimas.

Pelajar tahun akhir dikehendaki menjalankan penyelidikan berdasarkan tajuk yang telah dipilih bagi menghasilkan sebuah hasil kajian dan produk yang berkualiti, dan menepati kriteria industri seni pada hari ini.

CIPTA 2010 menggabungkan idea-idea pelajar Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif yang terdiri daripada Jabatan Teknologi Seni Reka, Seni Persembahan & Teknologi Produksi, Seni Visual & Teknologi, dan Seni Liberal. Daya kreatif pelajar merupakan manifestasi dari kepelbagaian teknik dan media yang akan diaplikasikan di dalam produk akhir. Pameran yang bertempat di Teater Eksperimental dan Galeri Fakulti Seni Gunaan & Kreatif ini akan berlangsung dari 12 hingga 16 April 2010.

Selain mempamerkan hasil kerja seni para pelajar, CIPTA juga bertujuan untuk menyuntik semangat bekerja dalam kumpulan serta mempertingkatkan daya komunikasi dengan masyarakat umum. Aspek-aspek tersebut akan dapat menyemaikan rasa tanggungjawab ke dalam diri pelajar, yang akan melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang berkualiti.

Wayang- From Script To Screen Oleh Prof Hatta





Jabatan Fakulti Seni Gunaan & Kreatif


Jabatan Teknologi Senireka

Seni dan teknologi merupakan satu polarisasi ekstrem yang bersifat subjektif kepada objektif. Ia menjadi dimensi dalam menterjemahkan ketinggian mental manusia di dalam menghasilkan sesuatu ciptaan seni yang unik. Perkembangan seni dan teknologi telah membawa kepada satu corak penemuan integrasi seni yang penting pada masa kini. Integrasi ini mampu membangunkan satu cabang seni yang mempunyai nilai kreativiti dan inovasi yang tinggi di dalam memenuhi kehendak pengguna, penyelesaian masalah kehidupan dan sekaligus meningkatkan kesejahteraan hidup manusia. Hari ini teknologi seni reka menjadi suatu bidang besar dan penting yang turut memanfaatkan kemajuan teknologi. Bidang seni reka ini melibatkan pelbagai bidang seperti Seni Reka Grafik, Seni Reka Animasi, Seni Reka Perindustrian dan Seni Reka Tekstil dan Fesyen. Gabungan aspek teori and praktikal menjadi tunjang utama di dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan pelajar mempunyai daya intelektual yang tinggi di dalam pengurusan dan penghasilan produk yang menepati keperluan industri dan pengguna. Di dalam persembahan CIPTA 2010 pada kali ini, pelajar-pelajar di Jabatan Teknologi Seni Reka mempamerkan idea-idea reka bentuk produk yang inovatif dan kreatif melalui garapan pelbagai isu dalam reka bentuk semasa dan akan datang.


Jabatan Seni Persembahan dan Teknologi Produksi

CIPTA 2009/2010, Jabatan Seni Persembahan dan Teknologi Produksi kali ini memaparkan projek pelajar Program Muzik dan Program Sinematografi. Secara umumnya pelajar kedua-dua program ini cenderung menjalankan penyelidikan aplikasi applied research dalam memperolehi jawapan kepada satu persoalan pilihan. Selari dengan bentuk penyelidikan aplikasi, produk yang dihasilkan oleh pelajar Program Muzik terdiri daripada komposisi berbantukan komputer, karya muzik electroacoustic, persembahan vokal dan muzikologi, manakala produk pelajar Program Sinematografi pula merangkumi video pendek pelbagai genre seperti naratif, dokumentari, khidmat makluman awam public service announcement. Secara keseluruhan, CIPTA 2009/2010 mencerminkan kekuatan kurikulum Jabatan ini yang menekankan keseimbangan ilmu teori dan praktis, yang disokong oleh teknologi. Selain itu, pameran ini turut memaparkan kebolehan dan potensi pelajar untuk berdaya saing dari segi intelektual, kreativiti dan bakat dalam menempatkan diri mereka dalam alam pekerjaan kelak.

Jabatan Seni Liberal
Program Pengurusan Seni menawarkan kombinasi subjek teras pengurusan yang dirangka khas dengan merangkumi ruang lingkup seni termasuklah dasar seni, asas perngurusan acara, pemasaran dan pengurusan organisasi. Selain daripada itu, program ini juga menawarkan pelbagai subjek teoritikal dan praktikal yang diperlukan bagi memperluaskan lagi pemahaman dalam industri seni di Malaysia. Bidang ini memastikan pelajar dapat memahami, menilai dan menyumbangkan ke arah pembangunan, penilaian dan pelaksanaan dasar seni di Malaysia dan antarabangsa. Selain itu, ia juga dapat membentuk pandangan dan apresiasi di antara seni dan budaya.

Jabatan Seni Visual dan Teknologi
Program pengajian Seni Halus diwujudkan bertujuan untuk melahirkan graduan seni visual yang bersifat inovatif dan kreatif bagi keperluan pasaran tempatan mahupun antarabangsa. Di samping itu juga, ia turut membuka dimensi baru kepada pelajar untuk menjana idea melalui kaedah terkini melalui integrasi amalan tradisi seni halus dan garapan aplikasi teknologi. Menyedari akan kepentingan pengintegrasian ini, maka pelajar-pelajar ditawarkan untuk mengikuti pengkhususan dalam 3 bidang utama iaitu; Seni Paduan (Catan dan Seni Elektronik), Fotografi dan Seramik Seni Halus. Aspek kajian teori dan praktikal ditekankan untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan seni kontemporari yang seimbang serta holistik. Kombinasi kedua-dua aspek ini berupaya melahirkan graduan seni visual yang cekap dan progresif melalui kemampuan berfikiran secara kritis, kreatif dan inovatif dengan suntikan elemen-elemen kemahiran insaniah di dalamnya.

Karya-karya yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar jabatan melalui Pameran CIPTA 2010 merupakan satu cantuman antara seni, sains dan teknologi. Penjelajahan medium serta media yang merentasi ruang dimensi kanvas dan peralatan elektronik jelas tergambar melalui hasil karya kreatif dan inovatif pelajar.

Keling~ Adaptation of Iban Oral Folk Tale

Simulasi Mempertahankan Diri

Wednesday, March 31, 2010