Wednesday, March 31, 2010


Penyelidikan ini berkaitan dengan emosi manusia berdasarkan pengamatan terhadap cahaya dan bunyi. Sebuah karya video eksperimental bertajuk ‘Sense’ dihasilkan menerusi penyelidikan melibatkan aplikasi seni cahaya melalui rakaman persembahan pergerakan badan. Hasilnya, ekspresi gerak tari bercahaya secara abstrak dengan gabungan bunyi alam semulajadi terhasil bertujuan untuk menarik audien untuk berkongsi pengalaman yang dialami oleh penyelidik.
-St Veronica Jr Rosius, Seni Halus


‘Underwater Panorama 360°’ merupakan pendekatan fotografi imej realiti maya di dalam air dengan menggunakan teknik ‘geotagging’. ‘Pengucapan’ secara visual ini telah memberi jawapan kepada pemerhati tentang lokasi imej “Underwater Panorama 360°” yang diambil apabila berinteraksi melalui “Google Earth”. Projek yang menggunakan“Google Earth” ini secara tidak langsung memberi informasi kepada pemerhati mahupun penghayat seni berhubung impak dunia tanpa sempadan dalam konteks seni kontemporari.
-Mohd Hisyam, Seni Halus


Karya ini merupakan adaptasi dari watak dan perwatakan dalam seni persembahan MakYong , iaitu watak Mak Yong dan Pak Yong. Hasil eksplorasi kajian ini dipersembahkan dalam bentuk karya catan semi abstrak.
Suryati Abdullah, Seni Halus


Bharatanatyam merupakan sebuah tarian masyarakat India yang mempunyai pergerakan artistik dan simbolik. Cahaya dan bayang dijadikan subjek utama dalam pengucapan ide untuk menyampaikan keseimbangan dan keindahan tarian Bharatanatyam. Teknik pencahayaan yang kreatif dieksperimentasikan untuk menggantikan melodi dan irama dalam tarian ini.
Indrani A/p Thigarajah, Seni Halus


Pada masa kini, masyarakat lebih mementingkan kesihatan mereka. Justeru, taman rekreasi merupakan tempat untuk bersenam. Maka, matlamat penyelidikan adalah mencadangkan reka bentuk kerusi taman untuk senaman. Fungsi senaman pada produk ini lebih bertumpu kepada bahagian paha, bahagian perut dan lengan semasa bersenam. Kebaikkan produk ini adalah pengguna dapat melakukan senaman bagi membina kesihatanmalah mempelbagaikan aktiviti senaman di taman.
-Shie Siew Kan, Senireka Industri


Kemajuan dalam penggunaan teknologi telah mewujudkan pelbagai inovasi dalam sektor pembuatan produk elektrik. Kipas elektrik meja mudah alih berfungsi untuk menyejukkan tubuh badan manusia. Sejak berkurun lama kipas elektrik meja mudah alih tidak mempunyai banyak perubahan reka bentuk. Perubahan gaya hidup moden pengguna yang memerlukan reka bentuk kipas yang mempunyai tinggi nilai estetika dan fungsi yang praktikal. Reka bentuk kipas ini diaplikasikan daripada motif pucuk rebung yang merupakan motif ikonik orang asia dan melambangkan pertumbuhan yang sangat signifikan. Penyelidikan ini mengariskan kaedah pengaplikasian proses perkembangan daripada motif ikonik tradisional kepada reka bentuk produk komersial yang berfungsi.
-Fandi Ahmad Syah,Senireka Industri


Ilusi terhasil apabila terjadi kekeliruan terhadap sesuatu objek yang dilihat, difikir dan dihayati. Karya ini memberi fokus terhadap pengaplikasian pelbagai cermin yang menghasilkan pantulan cahaya yang berbeza sebagai medium untuk menghasilkan refleksi ilusi yang berbeza.
-Jasma Ahmad, Seni Halus


Penyelidikan ini bertujuan untuk mempelajari amalan kebersihan penggunaan tandas di kalangan masyarakat. Objektif utama adalah bertujuan untuk mengenalpasti dan menganalisa penggunaan tandas yang betul dengan mengenalpasti teknik animasi yang sesuai dan dapat menghiburkan serta mendidik kanak-kanak. Animasi yang akan dihasilkan menggunakan perisian Toon Boom untuk menghasilkan animasi yang berkesan.
-Muhammad Nur Hafiz, Senireka Animasi


Mempertahankan diri adalah usaha untuk melindungi diri sendiri ataupun harta. Dalam penyelidikan ini, pengkaji akan menganalisa pergerakan teknik mempertahankan diri yang sesuai untuk wanita berdasarkan situasi kecemasan yang dihadapi. Ini kerana wanita sering dijadikan mangsa jenayah kekerasan. Dengan teknik yang mudah dan berkesan, titik tekanan manusia dan teknik yang mudah adalah penting, supaya mudah dikendalikan oleh wanita. Satu per satu pergerakan akan ditunjukkan untuk difahami audien. Projek ini akan dipersembahkan dalam bentuk Animasi 3 dimensi bagi mengajar audien bagaimana memahami asas mempertahankan diri untuk wanita.
-Nik Ab Zarif, Senireka Animasi


Cerita rakyat Iban adalah berkait rapat dengan dunia ‘spiritual’ dan mitologi masyarakat Iban. Antara objektif penyelidikan ini adalah untuk mengenalpasti cerita rakyat Kaum Iban, mengkaji dan menganalisis cerita rakyat Iban, menghasilkan satu animasi berbentuk naratif dan akhir sekali, membuat validasi terhadap penghasilan animasi tersebut. Animasi pendek ini akan diadaptasikan daripada salah satu cerita rakyat Iban lama iaitu Jerita Keling, seorang hulubalang terhandal Panggau Libau. Animasi ini menunjukkan kekayaan budaya kaum Iban dari aspek penceritaan lisan dan juga amalan tradisi.
-Keith Voon Lip Khiong, Senireka Animasi


Kajian ini adalah tentang Kronologi proses Influenza A(H1N1), juga dikenali sebagai selsema babi. Penyelidikan yang dijalankan termasuklah informasi grafik dalam media cetak yang digunakan sebagai sumber penyampaian maklumat. Hasil daripada kajian, sebuah animasi berbentuk dokumentari simulasi dihasilkan yang memfokuskan kepada evolusi virus dan proses sel manusia dijangkiti oleh virus. Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman visual tentang selsema babi dan memberi maklumat kepada penonton menerusi penghasilan animasi 3 Dimensi (3D).
-Chong Bee Fei, Senireka Animasi


Penyelidikan ini memberi fokus kepada penganalisaan ciri-ciri sub-genre Horror-Torture Porn yang diperkenalkan oleh David Edelstein pada tahun 2006. Kebiasaannya filem yang bercirikan genre Torture Porn mengandungi visual graphic aksi penyeksaan yang agak keterlaluan dalam menyampai dan memperkembangkan naratifnya. ‘Vakant’ adalah sebuah filem pendek yang memberi penekanan terhadap aksi penyeksaan dan sifat kejam karektornya sebagai percubaan untuk mengaplikasikan ciri-ciri Torture Porn. ‘Vakant’ mengisahkan dua karektor yang mendiami satu chalet di sebuah tempat peranginan dikejami oleh seorang pekerjanya sebagai cara untuk melepas dendam setelah adiknya diseksa dan dikejami sebelum ini.
-Thedore Peter, Sinematografi


Definisi terhadap dokumentari telah berubah seiring dengan perkembangan semasa. Secara tidak langsung, ini turut mempengaruhi fahaman pengarah dalam menyampaikan subjek yang dikaji. Kajian ini melihat perubahan yang telah berlaku di dalam pendekatan dan treatment terhadap struktur dan perkembangan naratif sesebuah dokumentari justeru mendedah perbezaan antara dokumentari conventional dan dokumentari yang bersifat unconventional. ‘Palu’’ adalah sebuah dokumentari pendek yang menggunakan treatment yang berbeza di dalam menyampaikan subjek yang dikaji. Dokumentari ini menyingkap signifikasi gendang dalam budaya Melayu di Sarawak dengan mengabadikan kisah kehidupan Encik Ramli, pembuat gendang Melayu Sarawak khas untuk tatapan generasi moden yang kian lupa akan kesenian dan signifikasi kraf ini.
-Noorazrin Mohd Peridar, Sinematografi


Kajian ini mengupas pelbagai maksud tersirat yang terdapat di dalam kisah Peribahasa Cina. Hasil kajian menunjukkan bahawa penggunaan teknik 3D adalah penting dalam menghasilkan sebuah karya animasi Peribahasa Cina ini. Eksperimen yang dijalankan berkaitrapat dengan penggunaan visual appeals, kesan bunyi, serta komposisi yang baik dalam sesebuah animasi. Matlamat utama animasi ini adalah untuk menarik minat serta memberi pemahaman terhadap kepentingan khazanah kisah daripada Peribahasa Cina di kalangan remaja masa kini.
-Evonne Loh, Senireka Animasi



Kajian ini memberi fokus kepada karakteristik filem cult serta pengkajian terhadap elemen-elemen yang membolehkan sesebuah filem itu dilabelkan sebagai filem cult. Terdapat sesetengah filem beraliran mainstream mendapat status filem cult kerana mengaplikasikan karakteristik filem cult dari segi naratif, shot, karakter dan juga teknik penyuntingan. ‘Land of Terror’ mengisahkan tentang Karem yang telah dibuang ke sebuah dunia lain akibat perbuatannya yang negatif. Video pendek ini mengaplikasikan beberapa karakteristik filem cult yang bersifat atau lebih menjurus kepada filem eksperimental.
-Mohd Rashidi, Sinematografi

No comments:

Post a Comment